Baju Muslimah Kanak-kanak

Thursday, December 5, 2013

Menyusu selepas C-Sec

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh...

Sudah sekian lama berdiam diri, mencari idea untuk menulis, akhirnya rakan saya memberikan idea untuk berkarya (chewah..macam tulis buku). Kesibukan di pejabat membantutkan penghasilan idea.

C-Sec.
Siapa kata orang yang menjalani pembedahan tak boleh menyusu badan? Saya di antara ratusan, ribuan malah jutaan ibu yang telah berjaya menyusukan anak selama 6 - 2 tahun setelah melalui 3 kali C-Sec.

Seseorang memberitahu saya, dia tidak boleh menyusukan anak sejurus selepas melahirkan kerana terdapat banyak kimia dalam badan hasil dari pembedahan c-sec jadi, tidak elok untuk menyusukan anak. Ada pula yang mengatakan sakit kerana pembedahan di bahagian perut, perut tak boleh lipat, jadi, tidak dapat menyusukan anak. Adoi hai...

Kerana tidak mahu menahan sakit sedikit maka anak diberikan susu formula, bagi saya bukanlah penyelesaian terbaik. Lebih-lebih lagi sekiranya kita kembali memikirkan fitrah kejadian wanita yang menjadi ibu..adalah tanggungjawab kita untuk melahirkan dan menyusukan anak-anak, amanah Ilahi. Sampai bila manusia, lebih-lebih lagi orang Islam mahu menyedari inilah sunnah paling mudah untuk dituruti oleh seorang ibu?

Saya ingin berkongsi pengalaman sebagai ibu yang melahirkan secara C-Sec berjaya menyusukan anak dan menempuh kesukaran dan kesakitan selepas dibedah.

Kali pertama dibedah, anak saya, Maryam, tidak diberikan sejam selepas melahirkan. Saya direhatkan untuk pengawasan di bilik yang sangat sejuk sementara Maryam, saya kurang pasti dia di mana ketika itu. Saya dinaikkan ke bilik di waktu tengahari. Beberapa minit kemudian, suami muncul sambil menolak katil anak ke arah saya. Itulah kali kedua menatap wajah anak sulung saya setelah dia diunjurkan kepada saya sejurus selepas dikeluarkan dari perut di bilik pembedahan. Itulah kali pertama saya menyusukannya. Terketar-ketar dan agak termangu-mangu tidak pasti bagaimana nak letak anak di atas perut? di dada? perut masih sakit, pusing kiri salah, pusing kanan salah. Jururawat datang membantu menunjukkan cara. Bagi bayi, itulah lumrah..di dalam kantung, dia menghisap jari, apabila keluar dari perut kita, menghisap puting susu itu adalah keperluan baginya. Kita hanya perlu memandu arah yang betul ke puting susu kita dan pastikan dia melekap dengan betul. Sebab, nanti kita jugak yang sakit.

Malam pertama, adik ipar saya, Hajar menjaga saya di hospital. Dialah yang membantu mengangkat Maryam dari katil untuk saya susukan, menukar lampin kotor, sementara saya masih melawan kesakitan di perut. Saya tidak mengambil pil tahan sakit, supaya dapat mengagak bila kesakitan sebenar akan berakhir. Malam itu, saya berusaha untuk bangun separuh badan, menggerak-gerakkan kaki, pusing pinggang supaya pagi itu dengan harapan, paling kurang pun saya boleh duduk tanpa memusingkan tuil katil. Saya dekatkan katil anak ke arah saya supaya saya boleh mencapai anak saya sendiri tanpa mengganggu adik ipar saya tidur di kerusi. Tapi, kebanyakan masa, saya masih memerlukan bantuannya.

Malam kedua, saya sudah bersendirian, tapi sudah boleh duduk. Jururawat sudah menggesa supaya bergerak sendiri ke bilik air dan buang air. Menyusukan anak menjadi semakin mudah dan susu semakin banyak selepas itu. Jururawat masih membantu apabila diperlukan tapi kerana saya sudah membuat persediaan dengan menghadiri kaunseling, membaca buku-buku menyusu maka, kesukaran itu telah dapat diagak dan saya sudah bersedia untuk mengharunginya.

Kelahiran anak kedua lebih mudah. Dia diletakkan di pangku saya semasa saya di dalam pengawasan kesihatan, Sepanjang itulah dia bersama saya. Jururawat yang meletakkan Ahmad kepangkuan saya hanya memusingkan badan bayi ke arah payudara dan Ahmad dengan cekap menangkap. Alhamdulillah.

Kelahiran anak ketiga, Ali Karimi..saya dibius sepenuhnya setelah separuh badan tidak berkesan. Saya langsung tidak menyedari semasa dibedah dan bila saya dikeluarkan, tidak seperti dua kelahiran pertama. Saya direhatkan sepenuhnya sehingga ke petang. Ali tidak disusukan sepanjang waktu itu. Apabila saya sedar, saya bertanya waktu di ketika itu dan saya sedar saya tidak menyusukan Ali selama lebih kurang 4 - 5 jam. Tidak lama kemudian, jururawat menolak saya ke bilik, kami singgah di bilik bayi untuk mengambil Ali. Kedengaran jururawat di situ berkata.."budak ni diam je tak menangis langsung". Sejuk hati dan lega saya mendengar kerana sekaligus Allah telah menjawab persoalan yang bermain di kepala saya. Anak saya menangis kelaparan atau tidak? Anak saya disusukan susu siapa (saya tahu hospital ini adalah hospital rakan bayi)? macam2 bermain di fikiran. Setelah mendengar ayat jururawat itu, saya tahu..Allah membantu kita SENTIASA tanpa jemu. Tinggal lagi kita ni je yang sibuk nak uruskan dunia tanpa menyedari Allah yang menguruskan segalanya. Kelahiran kali ketiga lebih sakit berbanding yang pertama kerana doktor telah mengikat tiub saya atas dasar2 keselamatan. Saya terima dengan hati terbuka sekiranya itu yang ditakdirkan.

Kesakitan tiub diikat lebih dirasai daripada kesakitan C-Sec. Saya dapat merasakan kesakitan yang lebih di bahagian dalaman. Penyusuan lebih memeritkan. Tapi kerana telah mempraktikkan teknik penyusuan efektif selama 4 tahun sebelum itu, ianya menjadi lebih mudah. Saya membawa bantal kecil untuk diletakkan di bawah perut semasa saya mengiring. Rasa perit dan tekanan bahagian perut dan dalaman berkurangan. Saya bawa juga bantal yang sederhana besar untuk diletakkan di belakang saya untuk menampung sakit di bahagian belakang semasa mengiring. Walaupun anak merengek dan menangis kerana tidak sabar untuk menyusu, saya mesti memastikan diri saya juga selamat dan selesa untuk menyusukan anak. Saya tidak mahu memudaratkan diri saya dan sudahnya saya pulak kena duduk di hospital, anak di rumah, nak minum susu siapa?

Saya membuat kesimpulan di sini..seperti di awal penulisan saya..NIAT menentukan segalanya. Apabila NIAT betul, pelaksanaan akan lebih teratur. Apabila kemahuan itu kuat, niat murni anda akan dimudahkan oleh Allah. Percayalah...ramai telah melakukannya...

Sekian, Wabillahitaufiqwalhidayah Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Nukilan,
Lis

Tuesday, October 15, 2013

Hari Pertama

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh...

Hari pertama menyusukan anak adalah pada 19 Disember 2007. Kebimbangan tidak dapat menyusukan anak sendiri masih bersarang di hati.  Semasa mengandung 4 bulan, saya mendapatkan khidmat kaunseling dari Kak Kamariah dari susuibu.com dan 2 bulan sebelum melahirkan anak pertama saya meminjam buku untuk mempelajari cara menyusukan bayi dan menyimpan stok susu apabila kembali bekerja.

Saya melahirkan secara C-sec di Hospital Serdang di mana mereka telah pun mempromosikan penyusuan ibu. Hospital Rakan Bayi. Di mana sahaja terpampang poster botol susu dilarang digunakan di hospital. Saya gembira kerana sedikit sebanyak laluan untuk menyusukan bayi dengan susu badan dimudahkan. Kehadiran bidan2 dan jururawat yang bertauliah untuk menunjuk ajar cara yang betul untuk menyusukan bayi sangatlah dihargai.

Kali pertama saya menyusukan anak, sedikit susu pekat berwarna kuning atau kolostrum yang keluar..of course..perut anak kita ni kecik..masih menyesuaikan diri dengan pemakanan pertama setelah keluar ke dunia. Kalau kita dengan jahilnya menyangka bayi itu menangis kerana kelaparan dan menyumbat susu selagi ada, maka, saya nasihat, banyaklah membaca dan bertanya. Bayi2 ini perlukan masa untuk mengadaptasi dengan keadaan sekeliling. Berikan susu peringkat demi peringkat. Mengikut permintaan.Itulah namanya Breastfeeding by Demand. Bayi itu lebih tahu bila dia lapar. Kalau kita pun disumbatkan dengan makanan atau minuman apabila telah kenyang..senak, muak, semua rasa ada. Apa bezanya dengan anak kecil ini?

Sebelum ini bayi2 ini duduk di dalam kantung ibu yang melindungi mereka dari pelbagai penyakit, gegaran, luka dan lain2. Mereka mendapat makanan dari saluran plasenta yang menghubungkan mereka dengan ibu2. Setelah keluar dari kantung itu, tiada lagi kepanasan dan keselesaan seperti di dalam perut ibu. Apa salahnya bayi2 ini menangis untuk meratapi ketiadaan keselesaan tersebut? Apa yang mereka mahu adalah berada di dalam pelukan ibu mereka, melekap di dada ibu, merasai kepanasan dan keselesaan itu walaupun perasaan itu hanya secebis rasa berbanding suasana di dalam perut ibu. Apakah susah untuk ibu2 memahami keadaan itu? Sebaliknya, penjelasan yang dirasakan paling logik mereka rasakan ialah dia selalu lapar. Maka, sumbatlah susu formula pula sebab susu badan tak cukup. Haih....

Ibu-Ibu..fahamilah bayi-bayi kita. Mereka juga manusia. Cuma mereka adalah manusia yang tidak berdaya dan memerlukan kita untuk menghidupkan mereka dengan bantuan Allah. Mereka amanah untuk kita. Allah mengurniakan kita cahaya mata ini untuk kita menjadikan mereka khalifah Allah selepas kita. Jadi, berusahalah sebaiknya supaya seawal kelahiran mereka, mereka mendapat segala yang terbaik di dalam kemampuan kita sehingga akhir hayat kita atau mereka.

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Nukilan,
Lisany